24-hours Emergency Call : +606 - 315 8930
+606 - 315 8931

Make an Appointment

Sinar Harian – Bahaya menghidap penyakit COPD

Interview with Dr. Rashidah, Consultant Physician and Respiratory Medicine of OMSMC

berita harian - Dr Rashidah 24102015

COPD atau Penyakit Sekatan Pulmonari Kronik adalah sejenis penyakit yang menyerang paru-paru dan terjadi apabila berlakunya penyempitan sebahagian salur pernafasan sehingga menyebabkan pengaliran udara keluar dan masuk ke paru-paru menjadi terhad. Mengikut perangkaan, COPD menjejaskan 210 juta orang di seluruh dunia, malah dijangka menjadi penyebab kematian ketiga tertinggi pada 2020. 

Merokok adalah penyebab utama COPD, dengan perokok mempunyai 12 kali kecenderungan untuk mati akibat COPD berbanding mereka yang bukan perokok. Pakar Perubatan Respiratori di Pusat Perubatan Oriental Melaka Straits, Klebang, Dr. Rashidah Yasin berkata, COPD terdiri daripada dua jenis penyakit iaitu Bronkitis Kronik dan Emfisima. 

Bronkitis Kronik, katanya, dikaitkan apabila batuk berkahak yang berpanjangan menyebabkan otot-otot pada saluran udara dalam paru-paru membengkak, menyempit dan keradangan. Keadaan itu menyebabkan pengjasilan mucus sehingga menghalang pengaliran udara dan menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Manakala Emfisima pula, berlaku apabila dinding paru-paru kehilangan sifat elastik dan menggelembung akibat udara terperangkap di dalamnya. Keadaan itu menyebabkan dinding di pundi-pundi udara rosak sehingga mengakibatkan berlakunya kekurangan kawasan permukaan untuk pertukaran udara. 

Beliau berkata, meskipun COPD dan asma adalah penyakit dikaitkan dengan saluran udara pernafasan dan tanda-tanda penyakit COPD adalah sama seperti penyakit asma namun, wujud perbezaan antara keduanya. 

“Perbezaan kedua-dua penyakit ini, saluran pernafasan pesakit asma boleh kembali ke normal dengan ubat sedutan atau dipanggil inhaler namun sebaliknya, kesempitan saluran pernafasan pesakit COPD tidak dapat kembali ke keadaan normal sepenuhnya di mana rawatan hanya boleh mengurangkan simptom-simptomnya sahaja. Selain daripada kesempitan saluran udara, penyakit COPD juga akan menyebabkan saluran udara bengkak (inflamasi) dan mengeluarkan banyak lendir (mucus),” katanya. 

Jelas Dr. Rashidah, COPD sering dikaitkan dengan mereka yang berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai tabiat merokok tegar. “Namun, merokok bukan satu-satunya punca COPD. Faktor lain termasuk terdedah terlalu lama kepada asap, habuk dan bahan kimia di tempat kerja serta asap dari aktiviti di rumah,” katanya. 

“Asap atau pencemaran luaran mahupun dalaman, juga boleh meningkatkan risiko menghidap COPD,” katanya. Tambah beliau, gejala COPD paling lazim ialah batuk kronik, menghasilkan kahak yang banyak, mencungap atau sesak nafas dan dada ketat. “Situasi ini menyebabkan pesakit tercungap-cungap akibat sesak nafas dan tidak hairanlah, lama kelamaan individu yang mengalami keadaan ini menjadi tidak aktif. Kadangkala, aktiviti rutin dan mudah seperti mandi, menyalin pakaian, berjalan menaiki atau menuruni tangga lama kelamaan boleh menjadi sesuatu yang menyusahkan. Gejala COPD akan menjadi bertambah teruk sekiranya pesakit mendapat demam selsema,” katanya. 

Beliau berkata, COPD didiagnosa menggunakan ujian ringkas dikenali sebagai spirometri yang berfungsi mengukur kekuatan pernafasan (menarik dan menghembus) serta selaju mana udara dihembus keluar. “Ujian ini akan mengesan penyakit COPD dan juga menentukan tahap penyakit sama ada sederhana, teruk dan sangat teruk. Ia amat mudah tanpa memerlukan suntikan atau ujian darah. Malangnya, kebanyakan pesakit COPD terlepas proses didiagnosa atau tidak diuji dengan sempurna hingga penyakit itu bertambah parah,” katanya. 

Rawat segera sebelum parah

Dr. Rashidah berkata, kebanyakan pesakit sering mengabaikan pemeriksaan kesihatan hingga keadaan bertambah parah. Akibatnya, katanya, ketika diagnosa dilakukan, lebih 50 peratus fungsi paru-paru mengalami kegagalan. “Walaupun COPD tidak boleh sembuh sepenuhnya, namun ia boleh dirawat. Apa yang lebih penting ialah COPD boleh dicegah. Sasaran utama rawatan adalah untuk mengurangkan gejala dan mengelak komplikasi atau mengawal dari melarat dengan kesan sampingan minimum. 

Beliau berkata, ubat bronchodilator yang menenangkan dan membuka laluan udara dalam paru-paru memainkan peranan penting dalam menguruskan gejala COPD. “Kebanyakan bronchodilator diambil menggunakan alat sedut. Bergantung kepada betapa teruk penyakit yang dihadapi, jenis bronchodilator yang berbeza akan diberi. Bronchodilator untuk menghilangkan simptom dengan kadar segera. Apabila disedut tindak balas yang cepat iaitu dalam tempoh 5-10 minit serta mampu bertahan dari empat hingga enam jam boleh membantu mengurangkan cungap malah dikenali sebagai ubatan penyelemat.

“Bronchodilator yang lambat kesannya digunakan setiap hari bagi membuka laluan udara dan memastikan ia terbuka sehingga 12 jam malah dalam kes tertentu sehingga 24 jam. Rawatan COPD merangkumi sama ada satu ubat atau kombinasi beberapa ubat dalam satu alat sedut seperti bronchodilators, corticosteroid, kombinasi bronchodilators, atau kombinasi bronchodialators dan corticosteroid. 

“Selain itu, COPD juga boleh dirawat dengan antibiotik, terapi oksigen, pemulihan pulmonari dan pembedahan,” katanya. 

Berkenaan jerebu yang melanda negara masa kini, Dr. Rashidah berkata, ia boleh menyebabkan seseorang individu yang telah sedia mendapat penyakit paru-paru kronik akan mudah mendapat serangan dan sekiranya tidak mendapatkan rawatan segera boleh membawa maut. “Gejala ini akan mudah dialami oleh kanak-kanak dan orang tua biarpun golongan ini tiada mengalami masalah paru-paru kronik. Secara jelasnya jerebu ini akan memburukkan lagi keadaan sekiranya seseorang pesakit itu sudah sedia mengalami masalah paru-paru kronik,”katanya.